Suatu hari ketika Imam Abu Hanifah sedang
berjalan-jalan melalui sebuah rumah yang jendelanya masih terbuka, terdengar
oleh beliau suara orang yang mengeluh dan menangis tersedu-sedu. Keluhannya
mengandungi kata-kata, "Aduhai, alangkah malangnya nasibku ini, agaknya
tiada seorang pun yang lebih malang dari nasibku yang celaka ini. Sejak dari
pagi lagi belum datang sesuap nasi atau makanan pun di kerongkongku sehingga
seluruh badanku menjadi lemah longlai. Oh, manakah hati yang belas ikhsan yang
sudi memberi curahan air walaupun setitik."
Mendengar keluhan itu, Abu Hanifah berasa
kasihan lalu beliau pun balik ke rumahnya dan mengambil bungkusan hendak
diberikan kepada orang itu. Sebaik sahaja dia sampai ke rumah orang itu, dia
terus melemparkan bungkusan yang berisi wang kepada si malang tadi lalu
meneruskan perjalanannya. Dalam pada itu, si malang berasa terkejut setelah
mendapati sebuah bungkusan yang tidak diketahui dari mana datangnya, lantas
beliau tergesa-gesa membukanya. Setelah dibuka, nyatalah bungkusan itu berisi
wang dan secebis kertas yang bertulis, " Hai manusia, sungguh tidak wajar
kamu mengeluh sedemikian itu, kamu tidak pernah atau perlu mengeluh
diperuntungkan nasibmu. Ingatlah kepada kemurahan Allah s.w.t. dan cubalah
bermohon kepada-Nya dengan bersungguh-sungguh. Jangan suka berputus asa, hai
kawan, tetapi berusahalah terus."
Pada keesokan harinya, Imam Abu Hanifah
melalui lagi rumah itu dan suara keluhan itu kedengaran lagi, "Ya Allah
Tuhan Yang Maha Belas Kasihan dan Pemurah, sudilah kiranya memberikan bungkusan
lain seperti kelmarin, sekadar untuk menyenangkan hidupku yang melarat ini. Sungguh
jika Tuhan tidak beri, akan lebih sengsaralah hidupku, wahai untung
nasibku." Mendengar keluhan itu lagi, maka Abu Hanifah pun lalu
melemparkan lagi bungkusan berisi wang dan secebis kertas dari luar jendela
itu, lalu dia pun meneruskan perjalanannya. Orang itu terlalu riang sebaik
sahaja mendapat bungkusan itu. Lantas terus membukanya.
Seperti dahulu juga, di dalam bungkusan itu
tetap ada cebisan kertas lalu dibacanya, "Hai kawan, bukan begitu cara
bermohon, bukan demikian cara berikhtiar dan berusaha. Perbuatan demikian
'malas' namanya. Putus asa kepada kebenaran dan kekuasaan Allah s.w.t.. Sungguh
tidak redha Tuhan melihat orang pemalas dan putus asa, enggan bekerja untuk
keselamatan dirinya. Jangan….jangan berbuat demikian. Hendak senang mesti suka
pada bekerja dan berusaha kerana kesenangan itu tidak mungkin datang sendiri
tanpa dicari atau diusahakan. Orang hidup tidak perlu atau disuruh duduk diam
tetapi harus bekerja dan berusaha. Allah s.w.t. tidak akan perkenankan
permohonan orang yang malas bekerja. Allah s.w.t. tidak akan mengkabulkan doa
orang yang berputus asa. Sebab itu, carilah pekerjaan yang halal untuk
kesenangan dirimu. Berikhtiarlah sedapat mungkin dengan pertolongan Allah
s.w.t.. Insya Allah, akan dapat juga pekerjaan itu selama kamu tidak berputus
asa. Nah…carilah segera pekerjaan, saya doakan lekas berjaya."
Sebaik sahaja dia selesai membaca surat itu,
dia termenung, dia insaf dan sedar akan kemalasannya yang selama ini dia tidak
suka berikhtiar dan berusaha. Pada keesokan harinya, dia pun keluar dari
rumahnya untuk mencari pekerjaan. Sejak dari hari itu, sikapnya pun berubah
mengikut peraturan-peraturan hidup (Sunnah Tuhan) dan tidak lagi melupai
nasihat orang yang memberikan nasihat itu. Dalam Islam tiada istilah
pengangguran, istilah ini hanya digunakan oleh orang yang berakal sempit. Islam
mengajar kita untuk maju ke hadapan dan bukan mengajar kita tersadai di tepi
jalan.
Oleh: Jaya Al-Bughury
*Sumber dari
tanbihul_ghafilin.tripod.com/himpunan1001kisah.htm
0 komentar:
Posting Komentar